Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan KSSM Pendidikan Khas yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2017 akan menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah yang mula dilaksanakan pada tahun 1988. KSSM dan KSSM Pendidikan Khas digubal bagi memenuhi keperluan dasar baharu di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang mahu meningkatkan standard kandungan dan standard pembelajaran supaya setanding dengan standard antarabangsa, serta memastikan kurikulum yang sesuai dan relevan disediakan bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBK). Kemahiran Abad 21 dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi menjadi elemen utama mengangkat KSSM dan KSSM Pendidikan Khas setanding dengan standard antarabangsa. Standard kandungan dan standard pembelajaran turut disulami dengan standard prestasi atau kriteria pencapaian untuk mengukur tahap penguasaan atau keterampilan murid.

KSSM Pendidikan Khas yang dilaksanakan di sekolah menengah akan menggunakan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), yang digubal berlandaskan Kerangka KSSM yang mempunyai enam tunjang, iaitu Komunikasi, Kerohanian, Sikap & Nilai, Kemanusiaan, Keterampilan Diri, Perkembangan Fizikal & Estetika serta Sains & Teknologi. Hasratnya supaya melahirkan insan yang seimbang selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

DSKP merupakan dokumen utama rujukan guru dalam merangka pengajaran dan pembelajaran (p&p) yang merangkumi pelbagai strategi, aktiviti dan penggunaan sumber. Guru digalakkan menggunakan kreativiti untuk memilih, menyusun, mengolah dan mempelbagai aktiviti berpandukan standard pembelajaran dan standard prestasi atau kriteria pencapaian mengikut kesesuaian dan keupayaan murid.

Dalam melaksanakan p&p, guru perlu memberi penekanan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dinyatakan secara eksplisit dalam DSKP. Antara pendekatan utama yang wajar digunakan guru dalam menerapkan KBAT dalam p&p adalah pembelajaran berasaskan inkuiri (Inkuiri), iaitu pendekatan yang mementingkan penyiasatan, pengumpulan dan penganalisisan data. Pelaksanaan pendekatan Inkuiri boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah seperti Pembelajaran Berasaskan Projek, Pembelajaran Berasaskan Masalah, Pembelajaran Berasaskan Eksperimen dan Pembelajaran Berasaskan Kontekstual.

Penggubalan KSSM Pendidikan Khas pada dasarnya mengambil kira pendidikan yang sesuai dan relevan bagi dua kumpulan MBK iaitu yang berkeupayaan mengikuti mata pelajaran kemahiran vokasional, dan yang mempunyai kombinasi satu atau lebih ketidakupayaan termasuk ketidakupayaan kognitif. Seperti murid lain, MBK turut merupakan modal insan perlu diberi perhatian agar mereka berkemampuan untuk hidup berdikari dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
KSSM Pendidikan Khas menyediakan ruang dan peluang untuk MBK yang berkeupayaan mempelajari dan menguasai pengetahuan dan kemahiran vokasional, serta nilai ke arah menghasilkan modal insan yang berkemahiran bekerja dan mampu berdikari. Bagi mencapai tujuan ini, dua kumpulan mata pelajaran disediakan iaitu mata pelajaran teras dan kemahiran.

Bagi MBK yang tidak berkeupayaan mengikuti kemahiran vokasional, kurikulum mata pelajaran teras dan kemahiran yang disediakan mengambil kira tahap kefungsian MBK. KSSM Pendidikan Khas memastikan kumpulan MBK ini berupaya mengurus diri, menguasai dan mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran, serta mengamalkan nilai murni agar mereka boleh bersosialisasi dan berdikari dalam menjalani kehidupan seharian. KSSM Pendidikan Khas turut membekalkan pengetahuan tentang Advokasi Diri supaya MBK dapat mengenal pasti potensi dan matlamat diri serta boleh menyuarakan hak dan pendapat mereka dalam masyarakat.

Bagi MBK yang mengikuti bidang kemahiran vokasional, kumpulan mata pelajaran teras yang digubal bertujuan menyediakan dan mengukuhkan MBK dengan pengetahuan dan kemahiran asas yang diperlukan bagi membolehkan MBK mengikuti pembelajaran mata pelajaran kemahiran vokasional. Kumpulan MBK ini akan juga mempelajari mata pelajaran teras yang bertujuan menyediakan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran mengurus diri, bahan, peralatan serta tempat kerja.


Kumpulan mata pelajaran kemahiran terdiri daripada mata pelajaran asas kemahiran dan kemahiran vokasional spesifik. Mata pelajaran asas kemahiran berhasrat menghasilkan MBK yang berpengetahuan dan berkemahiran teknikal, mengamalkan budaya kerja sistematik dan selamat, dan bersedia menguasai kemahiran vokasional spesifik di tahap yang lebih tinggi serta mengamalkan sikap keusahawan. Elemen transisi ke kerjaya turut diterapkan dalam semua mata pelajaran sejak awal pembelajaran di sekolah menengah sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan keterampilan MBK ke arah kehidupan berkerjaya.


Penyediaan kurikulum mata pelajaran kemahiran vokasional spesifik adalah berpandukan National Occupational Skills Standards (NOSS) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran. Usaha ini adalah selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar MBK turut mendapat pengiktirafan dari agensi luar di samping pensijilan oleh KPM, dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran MBK.